Rabu, 13 Ogos 2025

Arus Sungai Membawa Namamu

 

Prakata

Cerpen ini lahir daripada rasa rindu akan suasana kampung yang kian pudar di mata zaman. Arus Sungai Membawa Namamu mengangkat kisah cinta dan kenangan yang bersemi di sebuah rumah panjang, di tebing sungai yang menjadi nadi kehidupan penduduknya.

Berlatarkan panorama yang damai, kisah ini juga mengajarkan bahawa arus masa tidak pernah berhenti mengalir — membawa pergi sebahagian daripada diri kita bersama orang yang kita sayangi. Ia mengisahkan Bintang, seorang gadis rumah panjang yang indah budi dan parasnya, yang menjadi tumpuan hati seorang pemuda kampung. Namun seperti sungai yang mengalir ke hilir, hidupnya akhirnya membawa dia ke arah yang berbeza, meninggalkan jejak kenangan yang sukar dilupakan.

Semoga kisah ini menjadi penghubung antara kita dengan nilai kehidupan kampung yang sarat kasih sayang, hormat, dan kesetiaan, walaupun kadangkala berakhir dengan perpisahan.

Bab 1 – Sungai dan Kenangan

Di sebuah rumah panjang di pedalaman Sarawak, di tepi sungai yang berliku-liku di antara hutan tropika, Ijau membesar dengan bunyi deruan air sungai dan kokok ayam setiap pagi. Pada petang yang redup, dia sering duduk di anjung rumah panjang, memandang arus sungai yang membawa segala cerita. Dalam fikirannya, ada satu nama yang tak pernah hanyut — Bintang.

Pertemuan mereka berlaku pada musim Hari Gawai, ketika semua penghuni rumah panjang berkumpul untuk menyambut tetamu. Bintang, gadis yang sama rumah panjang dengan Ijau, hadir bersama ibunya. Dia memakai "Ngepan", pakaian tradisional wanita iban. Senyumannya memikat, seperti cahaya pelita minyak di waktu malam yang gelap.

Bab 2 – Benih yang Tumbuh

Ijau sering terlihat Bintang ketika dia datang ke pasar tamu di pekan kecil. Dia menjual sayur hutan, sementara Ijau pula menghantar hasil kebun lada dan buah sawit di ramp sawit berdekatan.

"Ditu aku nulung nuan ngangkat bakul nya", kata Ijau. Ijau membantu Bintang mengangkat bakul rotan yang sarat dengan pucuk paku dan kemiding dari perahu ke tebingan sungai.

"Nuan kediri aja?", tanya Ijau. "Au, kediri ku aja", jawabnya sambil tersenyum. "Ila ngangau aku, ngambi ku ulih nulung nuan ngangkat raga", kata Ijau sambil tersenyum.

Sejak itu, Ijau kerap mencari alasan untuk ke pasar tamu setiap minggu. Mereka sering bertemu dan berbual tentang kebun, tentang sungai yang kadang melimpah bila musim tengkujuh, dan tentang mimpi yang mereka simpan di hati.

Bab 3 – Keputusan

Suatu petang, Ijau dan Bintang duduk di tepi sungai berhampiran rumah panjang. Air mengalir perlahan, memantulkan cahaya senja.

"Ku bulih gawa ba negeri," kata Bintang. Suaranya seakan diseret angin. "Ku bulih gawa nyadi kerani ba sebuah company ba Bintulu. Gaji ke ditawar pun cukup manah, ulih kena ku nulung apai ngau indai aku". katanya lagi.

Ijau terdiam lama. Dia tahu peluang seperti itu jarang datang bagi orang kampung. 

"Enti bagi nuan nya yang manah, nuan pergi aja meh. Nya adalah masa depan nuan", kata Ijau.

Keesokan harinya, Bintang menaiki perahu panjang, meninggalkan rumah panjang untuk ke bandar. Ijau hanya berdiri di tebing sungai, melihat perahu itu hilang di selekoh sungai.

Bab 4 – Tahun yang Sepi

Musim berganti, tahun bertukar tahun. Ijau meneruskan hidupnya di rumah panjang, mengusahakan kebun lada dan ladang sawit peninggalan mendiang orang tuanya. Setiap kali ke pasar tamu, dia berharap akan terjumpa dengan Bintang.

Orang yang pulang dari bandar selalu membawa khabar — Bintang, kini bekerja di sebuah kilang ternama di salah sebuah bandar besar di Sarawak. Hidupnya kini lebih mewah. Ijau selalu mengirim pesanan ringkas (SMS) dan ianya tidak pernah terbalas. 

"Engka amat ia sibuk", bisik hati Ijau. 

Sungai terus mengalir, seakan membawa berita yang tidak pernah sampai.

Bab 5 – Pulang yang Sementara

Lima tahun kemudian, suasana rumah panjang itu meriah dengan persiapan perayaan Hari Gawai yg beberapa hari lagi akan berlangsung. Ijau sedang memeriksa pukat ikan di tepi sungai, Ijau terdengar bunyi deruan enjin perahu panjang yang merapat ke "pendai".

Dia menoleh, dan di antara para penumpang, matanya terpaku pada seorang wanita yang melangkah perlahan ke anjung rumah panjang. Rambutnya diikat kemas, bajunya polos namun anggun. Di sisi wanita itu, seorang lelaki berkemeja rapi membantu mengangkat beg, dan seorang kanak-kanak perempuan memegang tangan mereka.

Hati Ijau berdegup. 

"Bintang?"

Wanita itu tersenyum, senyum yang penuh kenangan tetapi berlapis jarak. 

"Ijau… udah lama nadai betemu." Suaranya lembut, tapi matanya membawa cerita yang tak perlu diungkap.

Ijau mengangguk, cuba menyembunyikan gelora di dada. 

"Sapa lelaki ngau budak nya?", tanya Ijau

"Lakiku ngau anak ku", jawabnya perlahan. Lakiku urang Bintulu. Kami pulai ke rumah panjai laban ka maie seduai ia betemu ngau apai ngau indaiku". 

Hati Ijau rasa bagaikan dirobek tetapi dia redha bahawa dia dan Bintang tidak akan bersama.

"Terima kasih laban udah nyadi kaban aku ngelamatu. Pemanah ngau pementas nuan meruan dikenangku belama", katanya lembut. Ijau terdiam dan terkaku.

"Mummy" 

Terdengar suara seoranag kanak-kanak memanggil ibunya dan itu adalah anak Bintang. Bintang melangkah pergi bersama anak dan suaminya. Ijau hanya mampu memandang, menyedari bahawa sungai yang sama yang pernah menyatukan mereka kini menjadi sempadan yang tidak mungkin diseberangi lagi.

Epilog – Sungai Tetap Mengalir

Malam itu, selepas majlis makan malam Gawai selesai, Ijau duduk sendirian di anjung rumah panjang. Bunyi gong dan tawak masih bergema dari hujung ruai, bercampur dengan gelak tawa penduduk rumah panjang. Namun di hatinya, ada ruang yang sunyi.

Dia memandang ke arah sungai yang berkilau di bawah cahaya bulan. Airnya mengalir perlahan, seolah-olah membawa segala kenangan yang pernah mereka lalui bersama. Setiap riak mengingatkannya pada pertemuan pertama, setiap bayang di permukaan air mengulang senyum Bintang yang pernah menjadi cahaya hidupnya.

Ijau tahu, hidup tidak selalu memberi apa yang kita harap. Ada orang yang datang sebagai doa yang tak pernah terkabul, ada yang pergi meninggalkan tanda yang tak pernah pudar. Cinta yang dia simpan bertahun-tahun itu kini bukan lagi sebuah penantian, tetapi sebuah cerita — cerita yang hanya miliknya, tersimpan di antara degupan hati dan alunan sungai.

Dia menarik nafas panjang, menghembuskannya perlahan. 

"Mungkin, nuan semina ba dalam mimpi aja, Bintang," bisiknya, hampir tak terdengar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Bayang Di Rumah Kayu

Prakata Manusia sering percaya bahawa rumah hanyalah sebuah bangunan. Tempat kita makan, tidur, dan berteduh dari hujan. Namun, ada rumah ya...